Khamis, 3 Oktober 2019 | 5:33pm

Geng Awe aktif curi motosikal tumpas

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan Geng Awe, sindiket mencuri motosikal dan kemudian menjualnya di sempadan Malaysia-Thailand, susulan tangkapan

11 anggotanya di sini dan tiga negeri lain.

Selain Kuala Lumpur, anggota sindiket didalangi dua mekanik itu ditahan dalam beberapa siri tangkapan di Selangor, Negeri Sembilan dan Kelantan pada 17 hingga 24 September lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata kumpulan dianggotai lelaki berusia antara 24 hingga 34 tahun itu aktif sejak tiga bulan lalu mencuri motosikal pelbagai jenis di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, sindiket itu menghantar motosikal curi siap diubah suai nombor enjin dan casisnya ke Kelantan untuk dijual di sempadan Malaysia-Thailand pada harga jualan sebuah motosikal antara RM2,000 sehingga RM4,000.

MAZLAN menunjukkan cara penjenayah menukar nombor casis motosikal pada Sidang media kejayaan Bahagian Siasatan Jenayah menumpaskan sindiket curi motosikal (Geng Awe) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Sentul. NSTP/Aswadi Alias.
MAZLAN menunjukkan cara penjenayah menukar nombor casis motosikal pada Sidang media kejayaan Bahagian Siasatan Jenayah menumpaskan sindiket curi motosikal (Geng Awe) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Sentul. NSTP/Aswadi Alias.

“Hasil soal siasat, dua daripada yang ditahan memiliki pengalaman sebagai mekanik selama 10 tahun dan mahir mengubah suai nombor casis dan enjin.

“Mereka akan mengubah nombor enjin dan casis motosikal yang dicuri dengan menggunakan nombor daripada motosikal yang diisytiharkan sebagai ‘total lost’ (musnah) bagi mengelak motosikal curi itu daripada dikesan.

“Polis turut merampas 24 motosikal curi pelbagai jenis, empat enjin motosikal pelbagai jenis, satu rangka motosikal Yamaha Y15ZR, peralatan mencuri motosikal ‘Allen Key’ yang diubah suai dan peralatan membuat nombor casis dan enjin dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM112,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, sembilan daripada suspek masih dalam tahanan reman, manakala dua sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan pihaknya masih memburu saki baki sindiket yang masih bebas.

Dalam perkembangan berasingan, Op Khas Rentap/Samun Jalanan Ketua Polis Kuala Lumpur yang dilakukan dalam dua fasa pada Februari hingga Mac dan Ogos hingga September lalu berjaya melumpuhkan tiga kumpulan samun dan ragut yang aktif di ibu kota.

Mazlan berkata, dalam operasi yang menumpukan kawasan ‘panas’ jenayah ragut dan samun, sebanyak 228 individu ditahan disyaki terbabit dalam jenayah ragut, samun dan dadah.

“Daripada jumlah itu, 112 orang adalah kategori dikehendaki, manakala tiga kumpulan yang tumpas adalah Geng Ragut Mat Top, Geng Curi Motosikal Hakim dan Geng Ragut Capang.

“Ops Khas ini akan diteruskan lagi berbaki tiga bulan menuju tahun baharu, kita mahu meningkatkan tahap keselamatan awam dan mengurangkan rasa takut di kalangan masyarakat terhadap jenayah,” katanya.

MAZLAN (dari kiri) menunjukkan cara penjenayah mencuri motosikal dengan menggunakan wayar pada Sidang media kejayaan Bahagian Siasatan Jenayah menumpaskan sindiket curi motosikal (Geng Awe) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Sentul. NSTP/Aswadi Alias.
MAZLAN (dari kiri) menunjukkan cara penjenayah mencuri motosikal dengan menggunakan wayar pada Sidang media kejayaan Bahagian Siasatan Jenayah menumpaskan sindiket curi motosikal (Geng Awe) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Sentul. NSTP/Aswadi Alias.
Berita Harian X