Rabu, 2 Oktober 2019 | 12:34pm
Nelayan, Lim Seer Hao, 36, pemilik anjing pitbull yang menyerang seorang kanak-kanak sehingga menyebabkan kecederaan parah (gambar kecil), membayar ikat jamin selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Mersing. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
Nelayan, Lim Seer Hao, 36, pemilik anjing pitbull yang menyerang seorang kanak-kanak sehingga menyebabkan kecederaan parah (gambar kecil), membayar ikat jamin selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Mersing. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

Pemilik 'Pitbull' tak mengaku salah

MERSING: Pemilik anjing jenis ‘Mixed Pitbull’ yang menyerang seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun sehingga menyebabkannya cedera parah Jun lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Lim Seer Hao, 36, yang juga seorang nelayan, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mazana Sinin, selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan cuai meninggalkan anjing peliharaan jenis ‘Mixed Pitbull’ miliknya sehingga mendatangkan cedera parah kepada mangsa, sekali gus membahayakan nyawanya di sebuah rumah di Jalan Permata 3, Taman Permata, Endau di sini, jam 7.30 malam, 27 Jun lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki anjing jenis itu dalam kediaman tanpa lesen, justeru melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing)(Majlis Daerah Mersing) 2003, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih lima bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Putera Amirool Faez Suhasi manakala tertuduh diwakili peguam Yen Heng Teng.

Majistret menetapkan ikat jamin RM2,500 dan kes disebut semula pada 23 Oktober ini.

Dalam kejadian itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun parah akibat diserang termasuk digigit pada muka dan beberapa bahagian badan oleh seekor anjing Pitbull peliharaan jirannya di sini, 27 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, dilaporkan berkata kejadian kira-kira jam 7.30 malam berkenaan berlaku ketika mangsa bermain di kediaman jiran terbabit.

Berita Harian X