Selasa, 1 Oktober 2019 | 4:57pm
TIMBALAN Komander PGA Briged Utara, Asisten Komisioner Mohd Rafiq Mohd Mustafa pada sidang media di Markas Taktikal PGA Bukit Kayu Hitam, hari ini. - Foto Sharizal Md Noor
TIMBALAN Komander PGA Briged Utara, Asisten Komisioner Mohd Rafiq Mohd Mustafa pada sidang media di Markas Taktikal PGA Bukit Kayu Hitam, hari ini. - Foto Sharizal Md Noor

PGA rampas ketum RM1 juta

BUKIT KAYU HITAM: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1 Ulu Kinta, Perak, berjaya merampas 6.3 tan daun ketum bernilai lebih RM1 juta sepanjang penugasan Ops Wawasan Kedah/Perlis bermula 27 Ogos lalu.

Timbalan Komander PGA Briged Utara, Asisten Komisioner Mohd Rafiq Mohd Mustafa, berkata kebanyakan ketum terbabit dikesan ditinggalkan penyeludup di kawasan berdekatan sempadan Malaysia-Thailand yang dijadikan lokasi transit sebelum diambil pihak ketiga.

"Cara ini adalah bagi mengelak ahli sindiket dikesan pihak berkuasa sementara menunggu peluang mengambil bungkusan berkenaan untuk diseludup ke negara jiran.

"Rampasan daun ketum paling banyak dibuat di sekitar Perlis dengan hampir semua daun ini dipercayai ditanam di Kedah," katanya pada sidang media di Markas Taktikal PGA Bukit Kayu Hitam di sini, hari ini.

Difahamkan, harga pasaran ketum yang tinggi di negara jiran menyebabkan penyeludup sanggup melakukan kegiatan itu demi untuk mengaut keuntungan.

Dalam pada itu, seramai tujuh warga Myanmar berusia antara dua hingga 45 tahun ditahan pihaknya selepas dipercayai cuba untuk pulang ke negara mereka melalui laluan haram.

Katanya, semua mereka ditahan pada 8 September lalu dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Terdahulu, Mohd Rafiq menyaksikan Majlis Serah Tugas antara Batalion 1 PGA yang tamat penugasan hari ini kepada Batalion 18 PGA.

Katanya, anggota Batalion 18 PGA akan meneruskan tugas menjaga sempadan sepanjang 140.8 kilometer dan 20 pos bagi memastikan tidak berlaku pembolosan manusia atau penyeludupan barangan larangan.

Berita Harian X