Ahad, 29 September 2019 | 11:31pm

2 pelari KL Marathon cedera dilanggar kereta

KUALA LUMPUR: Dua peserta larian Standard Chartered KL Marathon cedera dalam satu kejadian langgar lari di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari arah Ampang menghala ke Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE) di ibu negara, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu, dua peserta lelaki berusia 44 tahun dipercayai dilanggar sebuah kereta jenis Honda City yang terbabas di laluan berkenaan, menyebabkan kedua-duanya jatuh di atas jalan raya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata seorang mangsa luka di kaki dan menerima rawatan di zon hijau Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala seorang lagi mangsa retak tulang pinggul dan dirawat di zon merah hospital sama.

“Siasatan mendapati kereta dengan nombor pendaftaran VK 8854 itu yang dalam perjalanan dari arah Ampang ke Gombak di lorong kanan, gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas melanggar dua peserta larian yang berada di lorong kiri.

“Selepas pelanggaran, kereta terbabit terus meninggalkan lokasi kemalangan dan sehingga kini pemandunya masih belum tampil membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, ketika kejadian, lorong kiri di laluan itu ditutup sepenuhnya untuk kenderaan bagi memberi laluan kepada peserta larian dengan kon serta lampu amaran (blinker) turut diletakkan di tengah jalan antara lorong kiri dan kanan.

“Kita dapat kesan pemilik kereta berkenaan dan dia mendakwa kenderaannya itu disewakan kepada sebuah syarikat kereta sewa.

“Susulan itu, kita buat semakan dengan syarikat kereta sewa terbabit dan mendapati ketika kejadian, kenderaan itu disewa oleh seorang wanita tempatan.

“Usaha mengesan pemandu berkenaan sedang dijalankan,” kata Azman.

Sehubungan itu, katanya, saksi bebas atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-4401093.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, turut memuat naik satu ciapan di laman Twitternya berhubung kejadian itu.

“Kita berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya untuk mencari pemandu yang melanggar penghadang keselamatan dan pihak penganjur pula membantu mangsa dengan apa cara yang boleh,” katanya.

Berita Harian X