Jumaat, 27 September 2019 | 7:03pm
Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, Mahmood Kassim (tengah) menunjukkan laporan polis berikutan fitnah yang mengatakan ada kontraktor memberi kereta Toyota Velfire kepada dirinya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya. - Foto Noor Atiqah Sulaiman
Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, Mahmood Kassim (tengah) menunjukkan laporan polis berikutan fitnah yang mengatakan ada kontraktor memberi kereta Toyota Velfire kepada dirinya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya. - Foto Noor Atiqah Sulaiman

Setiausaha Politik lapor polis nafi terima kereta mewah

PUTRAJAYA: Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, Mahmood Kassim menafikan beliau menerima kereta Toyota Vellfire dari kontraktor seperti yang didakwa sebuah blog hari ini.

Beliau percaya fitnah yang disebarkan itu adalah langkah terdesak pihak tertentu yang mahu menjatuhkan kredibiliti Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Katanya, beliau akan berbincang dengan peguam sebelum mengambil tindakan saman terhadap pemilik blog dan penulis artikel yang tidak bertanggungjawab itu.

“Saya sudah membuat laporan polis terhadap blog captainm777.wordpress yang secara jelas membuat fitnah dengan mengatakan bahawa kontraktor memberi Toyota Vellfire kepada saya (Setiausaha Politik Menteri Pendidikan).

“Selain laporan polis, saya sudah membuat laporan sama kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Diharapkan polis dan SKMM dapat mengambil tindakan selanjutnya,” katanya kepada BH selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di sini hari ini.

Mahmood berkata, ketika laporan polis dibuat, pihaknya turut melampirkan dokumen pembelian kereta terbabit.

“Dokumen itu menyatakan pihak saya membuat pinjaman bank sebanyak RM250,000 menggunakan nama isteri saya dan bayaran sebanyak RM2,827 perlu dibuat dalam tempoh sembilan tahun.

“Ia sekali gus menafikan tuduhan jahat ke atas diri saya,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan ada kontraktor yang tidak berpuas hati kepadanya susulan laporannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kontraktor yang menggunakan penyata akaun palsu bagi mendapatkan tender di Kementerian Pendidikan, baru-baru ini.

Berita Harian X