Khamis, 26 September 2019 | 2:38pm

4 lelaki pecah masuk rumah, larikan barangan dianggar RM30,000

KUALA LUMPUR: Empat lelaki memecah masuk sebuah rumah dan melarikan pelbagai barangan berharga dianggarkan bernilai kira-kira RM30,000 di SS12/2C, Subang Jaya, di sini, semalam.

Terdahulu dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, semua suspek termasuk seorang bersenjatakan rod besi dipercayai berusia lingkungan 30-an, mendekati seorang wanita berumur lingkungan 50-an yang sedang berada di halaman rumah terbabit.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman, berkata suspek yang memakai baju berpenutup kepala dan bertopeng kemudian menolak wanita itu masuk ke dalam rumah.

“Ketika berada di dalam rumah, suami mangsa, anak saudaranya dan pembantu rumah diarahkan duduk di ruang tamu dengan salah seorang suspek mengawal mereka.

“Tiga lagi suspek kemudian menyelongkar semua bilik dan mengambil barangan berharga seperti beg tangan, jam tangan, barang kemas dan wang tunai yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM30,000.

“Suspek kemudian melarikan diri, namun mangsa bersama ahli keluarga dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya sedang giat mengesan suspek dan memohon orang ramai yang ada maklumat berkaitan supaya tampil untuk membantu siasatan di balai polis berdekatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata,” katanya.

Berita Harian X