X
Rabu, 25 September 2019 | 4:05pm

Remaja 14 tahun dirogol bapa tiri

TUARAN: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun nekad membuat laporan polis selepas sering dijadikan pemuas nafsu bapa tirinya sejak beberapa bulan lalu dalam kejadian di sebuah kampung, di sini.

Mangsa mendakwa dirogol sebanyak lima kali oleh suspek di bilik tidurnya setiap kali ditinggalkan berdua bersama bapa tirinya itu di rumah mereka.

Bagaimanapun, mangsa yang juga pelajar sebuah sekolah menengah di daerah ini tidak dapat mengingati tarikh sebenar kejadian tetapi mendakwa suspek sering mengulangi perbuatan terkutuknya.

Difahamkan, bapa tirinya yang berusia 47 tahun bekerja sebagai pemandu bas pelancong di sebuah pusat peranginan di Kota Belud.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim ketika mengesahkan kes itu, berkata mangsa membuat laporan di Balai Polis Tuaran pada 18 September lalu.

Katanya, berdasarkan maklumat itu, pihaknya segera menjalankan siasatan sebelum berjaya menahan suspek pada jam 1 pagi, Isnin lalu di sebuah restoran di Kota Kinabalu.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek sering melakukan perbuatan itu dalam bilik tidur mangsa ketika hanya tinggal berdua di rumah berkenaan.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Mohd Hamizi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram dan merogol.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan.

Berita Harian X