Rabu, 25 September 2019 | 1:50pm
Anggota bomba memotong pokok kelapa tumbang yang menghempap anjung rumah sehingga mengakibatkan seorang wanita parah di Jalan Matang Kurau, Kampung Sungai Batu, Pantai Remis. - Foto ihsan Bomba
Anggota bomba memotong pokok kelapa tumbang yang menghempap anjung rumah sehingga mengakibatkan seorang wanita parah di Jalan Matang Kurau, Kampung Sungai Batu, Pantai Remis. - Foto ihsan Bomba

'Saya hanya mampu payungkan arwah...'

PANTAI REMIS: “Saya terdengar bunyi dentuman kuat dan tiba-tiba anak saudara datang menjerit ‘Pak Tam, mari ke rumah tengok mak dan ayah, ada pokok tumbang’.

“Tanpa berlengah saya terus berlari ke rumah mereka dalam hujan,” kata Mohd Ali Abdullah.

Mohd Ali, 72, adalah biras kepada Ramlah Sipar, 52, yang maut selepas ditimpa pokok kelapa setinggi 15 meter yang tumbang di Jalan Matang Kurau, Kampung Sungai Batu, Pantai Remis di sini, semalam.

Pokok di belakang rumah jiran mangsa tumbang menghempap bumbung hadapan rumah wanita itu berikutan ribut bersama hujan lebat dan angin kencang.

Mohd Ali berkata ketika kejadian, dia bersama isteri sedang berehat di rumahnya kira-kira 10 meter dari rumah mangsa sebelum didatangi anak saudaranya yang memaklumkan kejadian berkenaan.

“Ketika sampai di rumah mereka, saya lihat Ramlah sudah terduduk di bawah timbunan pelepah kelapa manakala suaminya (Hasan Othman, 59) yang lumpuh sebelah badan dan tidak boleh bercakap tidak cedera dan hanya terkena hujung pelepah sahaja.

“Ketika itu arwah masih dalam keadaan sedar cuma dia tidak mampu bersuara dan menyahut panggilan anak ketiganya yang menangis memanggilnya berulang kali,” katanya ketika ditemui di rumah mangsa di Kampung Sungai Batu, di sini, hari ini.

Mohd Ali berkata, dia cuba membantu mangsa tetapi tidak berdaya.

‘Saya hanya mampu payungkan arwah sementara penunggu bomba sampai untuk bantuan lanjut,” katanya.

Arwah dikatakan mahu mengangkat baju di ampaian ketika kejadian manakala suaminya pula berada berhampiran dengannya dan mereka memang selalu duduk di anjung rumah setiap petang.

“Suaminya diserang sawan kerana terkejut dengan kejadian yang menimpa arwah dan dibawa ke hospital semalam, namun dia sudah berada dalam keadaan baik,” katanya yang memberitahu birasnya itu mengambil upah memotong ikan di pelantar Pantai Remis.

Mohd Ali berkata, mangsa mempunyai empat anak berusia 11 hingga 25 tahun dengan dua daripadanya masih bersekolah.

Jenazah Ramlah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Batu, Pantai Remis, pagi tadi.

Berita Harian X