Rabu, 25 September 2019 | 9:18am

Wanita maut dihempap pokok kelapa

SERI MANJUNG: Seorang wanita maut selepas anjung rumahnya dihempap pokok kelapa setinggi 15 meter yang tumbang di Jalan Matang Kurau, Kampung Sungai Batu, Pantai Remis di sini, semalam.

Mangsa, Ramlah Sipar, 52, meninggal dunia sejurus tiba di wad kecemasan Hospital Seri Manjung (HSM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman, berkata kejadian berlaku pada jam 6 petang, semalam dalam keadaan ribut berserta hujan lebat dan angin kencang.

“Anak mangsa memaklumkan ketika kejadian berlaku mangsa sedang mengambil baju yang disidai di hadapan rumah berbumbung.

“Angin kencang menyebabkan pokok kelapa tumbang dan menghempap bumbung serta mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, bomba yang tiba di lokasi kejadian membantu memotong pokok kelapa dan mengeluarkan mangsa yang dihempap pokok berkenaan.

“Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Pantai Remis sebelum dibawa ke wad kecemasan (HSM) dengan ambulans.

“Sebaik tiba di wad kecemasan mangsa disahkan sudah meninggal dunia dan bedah siasat dijalankan di Unit Forensik HSM pagi ini,” katanya.

Berita Harian X