Ahad, 22 September 2019 | 11:53am
KETUA Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa (kiri) menunjukkan tujuh paket plastik mengandungi dadah jenis heroin seberat 41.88 gram yang dirampas dari seorang lelaki di sebuah tempat penagihan dadah di Hutan Simpan Sungai Karang, Sabak Bernam. STR/AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
KETUA Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa (kiri) menunjukkan tujuh paket plastik mengandungi dadah jenis heroin seberat 41.88 gram yang dirampas dari seorang lelaki di sebuah tempat penagihan dadah di Hutan Simpan Sungai Karang, Sabak Bernam. STR/AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN

Tokan tak serik ditangkap

SABAK BERNAM: Seorang ‘tokan’ dadah tidak serik melakukan kegiatan itu apabila ditahan kali kesembilan, semalam.

Lelaki itu ditahan dalam serbuan Ops Tapis di Hutan Simpan Sungai Karang di sini jam 3 petang.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa, berkata suspek berusia 52 tahun dan masih bujang ditahan ketika dipercayai ketika sedang menjual dadah kepada penagih.

“Dalam serbuan itu, polis menemui tujuh paket dadah jenis heroin seberat 41.88 gram bernilai RM1,500 dalam beg galas suspek,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini, hari ini.

Nor Azmi berkata, suspek beralamat di Kampung Hala Cara Baru dipercayai mengedar bungkusan dadah jenis heroin dalam paket kecil lut sinar seberat kira-kira tiga gram setiap satu.

“Suspek dipercayai menjalankan kegiatan penjualan dadah jenis heroin pada harga RM40 bagi setiap satu gram di sekitar kawasan Sungai Besar,” katanya.

Beliau berkata, suspek sebelum ini pernah tiga kali ditahan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK), empat kali ditahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan ditahan sekali mengikut peruntukan Seksyen 15 (1) akta sama.

Katanya, selain kesalahan dadah, suspek juga memiliki satu rekod jenayah mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) iaitu mencuri.

“Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin.

“Suspek direman tujuh hari hingga Sabtu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952,” katanya.

Berita Harian X