Khamis, 19 September 2019 | 1:20pm

KPDNHEP rampas selipar tiruan bernilai lebih RM600,000

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 76,632 pasang selipar tiruan jenama Comfort dan Goco Comfort dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Pengkalan, di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 10 pagi itu, semua selipar tiruan itu dirampas di dua premis iaitu sebuah kedai dan stor penyimpanan selipar dengan nilai keseluruhan RM613,056.

Difahamkan, operasi KPDNHEP membabitkan sembilan penguat kuasa dan enam wakil cap dagang itu dijalankan selepas pihak KPDNHEP menerima maklumat daripada pemilik cap dagang berkenaan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Perak, V Ravichandran, berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 40-an yang mengaku sebagai pemilik kedua-dua premis berkenaan untuk dirakam keterangan.

Katanya, hasil siasatan mendapati kedua-dua premis sudah beroperasi sejak empat tahun lalu dengan mempunyai seramai tujuh pekerja warga asing dan ketika serbuan premis berkenaan sedang beroperasi.

“Siasatan awal mendapati syarikat ini bukan sahaja membekalkan selipar tiruan untuk pasaran tempatan malah turut mengeksportnya untuk pasaran luar negara seperti Indonesia dan Thailand.

“Kedua-dua premis disyaki menggunakan perihal dagangan palsu pada selipar dijual yang melanggar hak berhubung cap dagang berdaftar,” katanya pada sidang media di stor eksibit KPDNHEP Perak, di sini, hari ini.

Ravichandran berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Katanya, KPDNHEP memandang serius kesalahan menggunakan perihal dagangan palsu ke atas barangan berjenama yang melanggar peruntukan undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perak, V Ravichandran (tengah) menunjukkan sebahagian selipar tiruan berjaya dirampas di Kawasan Perindustrian Pengkalan. - NSTP/Muhaizan Yahya
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perak, V Ravichandran (tengah) menunjukkan sebahagian selipar tiruan berjaya dirampas di Kawasan Perindustrian Pengkalan. - NSTP/Muhaizan Yahya
Berita Harian X