Sabtu, 14 September 2019 | 6:54am
Keadaan motosikal Kawasaki Z800 dinaiki Mohd Hanafi Ismail, 37, dan isteri, Salimah Mohd Shafei, 40, remuk selepas dirempuh Produa Myvi dalam kemalangan di Jemaluang, Mersing, Johor. - Foto ihsan Pembaca
Keadaan motosikal Kawasaki Z800 dinaiki Mohd Hanafi Ismail, 37, dan isteri, Salimah Mohd Shafei, 40, remuk selepas dirempuh Produa Myvi dalam kemalangan di Jemaluang, Mersing, Johor. - Foto ihsan Pembaca

Suami isteri maut konvoi motosikal: Polis buka kertas siasatan

MERSING: Suami isteri maut manakala seorang lagi parah apabila konvoi motosikal berkuasa tinggi terbabit kemalangan di Jalan Kota Tinggi-Mersing di Jemaluang, di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku ketika pasangan terbabit, Mohd Hanafi Ismail, 37, dan Salimah Mohd Shafei, 40, dari Pulau Duyong, Terengganu, dan seorang lagi mangsa dalam perjalanan ke Johor Bharu, Johor, bagi menyertai acara Desaru International Bike Week (DIBW) 2019 yang berlangsung selama empat hari bermula semalam.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 9.25 malam, ketika sekumpulan 20 motosikal berkuasa tinggi dalam perjalanan dari Terengganu menuju ke Desaru sempena acara berkenaan.

“Sebuah Perodua Alza dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Endau di sini, memasuki laluan bertentangan ketika melalui selekoh di tempat kejadian sebelum merempuh motosikal dinaiki mangsa menyebabkan dua mangsa parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mohd Hanafi yang juga seorang jurujual dan Salimah mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan.

“Seorang lagi mangsa mengalami kecederaan parah dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Mersing untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Hanafi Ismail, 37, dan isteri, Salimah Mohd Shafei, 40, dari Pulau Duyong, maut selepas motosikal berkuasa tinggi dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jemaluang, Mersing, ketika dalam perjalanan ke Johor Bharu bagi menyertai Desaru International Bike Week (DIBW) 2019. - Foto ihsan Pembaca
Mohd Hanafi Ismail, 37, dan isteri, Salimah Mohd Shafei, 40, dari Pulau Duyong, maut selepas motosikal berkuasa tinggi dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jemaluang, Mersing, ketika dalam perjalanan ke Johor Bharu bagi menyertai Desaru International Bike Week (DIBW) 2019. - Foto ihsan Pembaca

Cyril berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Mersing untuk bedah siasat.

Beliau berkata, kemalangan turut membabitkan dua motosikal lain yang sempat mengelak sebelum terjatuh sendiri ke bahu jalan.

Katanya, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kemalangan itu yang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan sehingga kini pihaknya masih menyiasat kejadian berkenaan.

Sementara itu, seorang peserta konvoi berkenaan yang hanya dikenali sebagai Iwan, 30-an berkata, konvoi berkenaan membabitkan lebih 100 motosikal berkuasa tinggi bertolak dari Kuala Terengganu, pada jam 8 pagi, semalam.

Katanya, ketika dalam perjalanan, pasangan berkenaan yang menunggang Kawasaki Z800 bersama 19 peserta konvoi lain berpecah untuk singgah di bandar Kuantan, Pahang bagi membaiki motosikal milik rakan yang mengalami kerosakan, sebelum kejadian berlaku.

“Mayat pasangan terbabit dibawa ke Hospital Mersing untuk bedah siasat manakala seorang peserta konvoi yang patah kaki dan tangan dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan kecemasan.

“Difahamkan, jenazah mangsa akan dibawa pulang ke Terengganu selepas selesai bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Berita Harian X