Ahad, 8 September 2019 | 7:56am

Maut rempuh belakang pacuan empat roda

IPOH: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di lorong kecemasan di Kilometer 283.7, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat Plaza Tol Simpang Pulai, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, Mohd Shukri Mohamad Nazri, 22, yang menunggang motosikal Yamaha LC135, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Difahamkan, pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dirempuh mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Nordin Abdullah, berkata siasatan awal polis mendapati pemandu Mitsubishi Triton berusia 60 tahun dipercayai memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan untuk memakan ubat.

Katanya, mangsa yang datang dari arah belakang dipercayai merempuh kenderaan pacuan empat roda berkenaan mengakibatkan mangsa parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HRPB (Hospital Raja Permaisuri Bainun) dan hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa disebabkan parah di bahagian kepada akibat kemalangan jalan raya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Nordin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X