Khamis, 5 September 2019 | 9:16pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Pakar jantung maut nahas jalan raya

KUALA LUMPUR: Pakar jantung Pusat Perubatan Pakar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sungai Buloh, maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, hari ini.

Dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 8.20 pagi tadi, mangsa Noor Izham Ismail, 40, dikatakan menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR sebelum dipercayai terbabas, lalu merempuh tiang lampu di Jalan Hospital, menghala ke UiTM Sungai Buloh.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala akibat terjatuh, kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, katanya, pada jam 9.50 pagi, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah hospital terbabit.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala akibat kemalangan.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati permukaan jalan kering dan tidak hujan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azman berkata, siasatan di tempat kejadian juga mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam kejadian dan polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X