Rabu, 4 September 2019 | 12:23pm
PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Omar Mammah menunjukkan gambar dua lelaki dipercayai ada kaitan dengan kumpulan militan negara jiran yang ditembak mati di perairan Lahad Datu, semalam. - Foto Fardy Bungga
PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Omar Mammah menunjukkan gambar dua lelaki dipercayai ada kaitan dengan kumpulan militan negara jiran yang ditembak mati di perairan Lahad Datu, semalam. - Foto Fardy Bungga

Dua lelaki ditembak mati di Perairan Timur Sabah

KOTA KINABALU: Dua lelaki yang dipercayai ada kaitan dengan kumpulan militan negara jiran ditembak mati di perairan Lahad Datu, malam tadi.

Dalam kejadian itu jam 11 malam, sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan di kawasan perintah berkurung terserempak dengan dua pam bot dalam keadaan mencurigakan kira-kira 10 batu nautika dari pantai.

Bagaimanapun, ketika cuba dipintas untuk pemeriksaan, seorang daripada suspek melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata untuk mempertahankan diri, polis melepaskan tembakan balas ke arah kumpulan suspek.

Bagaimanapun katanya, satu daripada dua bot berkenaan dapat melarikan diri ke arah perairan Filipina.

“Selepas keadaan reda, pemeriksaan mendapati terdapat satu mayat lelaki terbaring di atas bot manakala seorang lagi suspek ditemui terapung berhampiran bot dengan beberapa kesan tembakan.

“Kedua-dua mayat suspek bersama pam bot kemudian dibawa balik ke Pengkalan Pasukan Polis Marin, Lahad Datu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Omar berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada badan mangsa namun kedua-dua suspek dipercayai berusia lingkungan 30-an hingga 40-an.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut menemui satu laras raifal, dua butir peluru dan kelongsong peluru.

“Kita percaya kumpulan suspek ini berkemungkinan cuba melakukan jenayah di perairan negara ini,” katanya.

Berita Harian X