Rabu, 4 September 2019 | 9:44am
KEADAAN motosikal yang dirempuh lori di Kilometer (KM) 99.3 Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan susur keluar Sungai Petani Utara arah utara di Sungai Petani, malam tadi. - Foto ihsan pembaca
KEADAAN motosikal yang dirempuh lori di Kilometer (KM) 99.3 Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan susur keluar Sungai Petani Utara arah utara di Sungai Petani, malam tadi. - Foto ihsan pembaca

Suami isteri maut dirempuh lori

SUNGAI PETANI: Pasangan suami isteri maut, manakala anak mereka parah selepas motosikal ditunggang tiga beranak itu dirempuh lori di Kilometer (KM) 99.3 Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan susur keluar Sungai Petani Utara arah utara di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.50 malam itu, mangsa, Jamaludin Musa, 51, dan isterinya, Rapidah Ahmad@Abdullah, 46, yang menetap di Langgar, Alor Setar, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Anak pasangan itu, Muhammad A’tiqullah, 9, yang patah tangan kanan dan kiri menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan keadaannya dilaporkan kritikal.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata dalam kejadian itu, ketiga-tiga mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dilanggar sebuah lori yang kemudian melarikan diri.

“Kejadian itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang tiga beranak itu cuba mengubah laluan dari lorong susur kiri ke arah Plaza Tol Sungai Petani Utara ke lorong kiri lebuh raya.

“Akibatnya pemandu lori terbabit gagal mengelak dan melanggar motosikal ditunggang mangsa menyebabkan mereka digilis lori,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Adzli berkata, pihaknya masih berusaha mengesan pemandu lori dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X