Selasa, 3 September 2019 | 4:50pm
KEADAAN kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Batu 6 Jalan Nyabau, Bintulu. - Foto Erika George
KEADAAN kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Batu 6 Jalan Nyabau, Bintulu. - Foto Erika George

Tahan sakit sejam tersepit dalam kereta

BINTULU: Seorang lelaki warga emas terpaksa menahan kesakitan kira-kira sejam selepas tersepit di tempat duduk pemandu dalam kemalangan di Jalan Nyabau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, kereta Toyota Avanza yang dipandu mangsa bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, PBK II Winston Tan, berkata sepasukan sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung kejadian itu.

“Sampai di lokasi kejadian, didapati, kedua-dua kenderaan terbabit berada di atas bahu jalan dengan pacuan empat roda merempuh tiang lampu jalan.

”Pasukan bomba kemudiannya menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa tersepit dan mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 2.30 petang” katanya.

Sejurus berjaya dikeluarkan, mangsa, Ting Teck Ching, 63, yang mengalami kecederaan di bahagian dada dikejarkan ke Hospital Bintulu bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, pemandu kenderaan pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.

Berita Harian X