Selasa, 3 September 2019 | 12:55pm
PEGAWAI AADK cedera di dada selepas ditikam penghuni pusat pemulihan CCSC di Sibu. - Foto Erika George
PEGAWAI AADK cedera di dada selepas ditikam penghuni pusat pemulihan CCSC di Sibu. - Foto Erika George

Pegawai AADK parah ditikam penghuni pusat pemulihan

SIBU: Seorang pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini, parah selepas ditikam seorang penghuni Pusat Perkhidmatan, Rawatan dan Pemulihan (CCSC), di Jalan Ulu Lanang, Sibu, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata dalam kejadian 8.30 malam, mangsa Juing Garai, 38, ditikam suspek berumur 18 tahun dengan pisau.

Ketika itu, mangsa sedang berada di bilik rehat pegawai bertugas di tingkat atas bangunan terbabit.

Stanley berkata, mangsa yang berada dalam kesakitan selepas ditikam di dada, sempat menghubungi ketuanya memaklumkan kejadian itu.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, ketuanya mendapati mangsa dalam keadaan tidak bermaya dan berlumuran darah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, selepas menikam mangsa, suspek turut melarikan dompet dan motosikal jenis Honda Wave berwarna merah milik mangsa.

Stanley berkata, sebelum ini suspek pernah memohon untuk ditempatkan di CCSC Miri, namun terpaksa ditempatkan di CCSC Sibu dan mendaftar pada 8 Julai lalu berikutan tiada kekosongan di Miri.

“Suspek dipercayai memang merancang untuk melarikan diri dari pusat pemulihan itu, namun dia sempat menyamun serta mencederakan pegawai terbabit.

“Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata,” katanya.

Sementara itu, Stanley berkata, suspek ditahan di Bintulu semalam selepas dikesan anggota Polis Bantuan di kawasan Taman Perindustrian Samalaju, pada jam 1.30 tengah hari, iaitu kira-kira 17 jam selepas dia menikam dan menyamun pegawai terbabit.

Katanya, suspek dikesan selepas didapati menunggang motosikal tanpa nombor pendaftaran. Anggota Polis Bantuan yang memeriksanya menemui sebilah pisau kecil dengan kesan darah dalam bahagian raga motosikal dan turut menjumpai dompet mangsa di dalam poket seluar suspek.

“Suspek kemudian mengaku melarikan diri dari CCSC Sibu dengan menggunakan motosikal terbabit dan dia kemudiannya dibawa ke Balai Polis Tanjung Kidurong untuk tindakan lanjut," katanya.

Berita Harian X