Selasa, 3 September 2019 | 12:26pm

Lombong bauksit tak wujud jadi modal menipu

KUANTAN: Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana menipu dan menyimpan wang hasil tipu membabitkan tawaran menguruskan lombong bauksit tidak wujud.

Tertuduh pertama, Hamdan Hassan, 50 dan tertuduh kedua, Ahmad Ghazali Derahman, 64, didakwa melakukan kesalahan itu pada 2016 di daerah ini dengan menipu Chan Boon Hwa yang berasal dari Melaka, membabitkan wang berjumlah RM350,000.

Seorang lagi tertuduh, Mohamad Fadli Ahmad, 29, didakwa menggunakan wang berjumlah RM197,000 hasil penipuan itu dengan memasukkan ke akaun bank miliknya antara 29 Januari hingga 13 April 2016.

Pendakwaan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 420 KK dibaca bersama Seksyen 34 KK dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Azreen Wan Zaid.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh pertama yang berasal dari Taman Pelindung Bayu, dekat Beserah di sini, dan tertuduh kedua dari Kampung Kuala Mentiga, Pekan, didakwa mempengaruhi mangsa sehingga percaya mengenai kewujudan lombong bauksit dan menyerahkan sejumlah wang bagi tujuan menguruskan lombong berkenaan.

Semua tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Majistret Nurul Farahah Mohd Suah menetapkan 17 September sebagai tarikh sebutan semula.

Tertuduh pertama dan tertuduh kedua dikenakan ikat jamin RM10,000, manakala tertuduh ketiga dikenakan ikat jamin RM7,500.

TIGA lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini, kerana menipu dan menyimpan wang hasil tipu membabitkan tawaran menguruskan lombong bauksit tidak wujud. - Foto Muhd Asyraf Sawal
TIGA lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini, kerana menipu dan menyimpan wang hasil tipu membabitkan tawaran menguruskan lombong bauksit tidak wujud. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Berita Harian X