Isnin, 2 September 2019 | 8:49pm

PGA rampas ketum 1 tan

BUKIT KAYU HITAM: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 1,020 kilogram daun ketum bernilai RM153,000 yang cuba diseludup ke negara jiran di Felda Mata Ayer, Padang Besar, Perlis, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, anggota PGA Batalion 1 sedang melakukan rondaan Ops Wawasan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand sebelum terserempak sekumpulan lelaki sedang berjalan kaki dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah Medan, Martak Batalion 1 PGA, Superintendan Abd Aziz Abdullah, berkata sebaik menyedari kehadiran anggotanya, sekumpulan lelaki itu bertindak melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

“Hasil pemeriksaan di kawasan itu menemui 34 bungkusan guni putih berisi daun hijau disyaki ketum,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar berkenaan rampasan dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Berita Harian X