Isnin, 2 September 2019 | 4:04pm

Polis tunggu laporan cap jari kenal pasti identiti mayat

SHAH ALAM: Polis masih menunggu laporan cap jari bagi mengenal pasti identiti seorang lelaki yang ditemui mati dalam sebuah longkang di Persiaran Anggerik Renantanda, Seksyen 31, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib, berkata buat masa ini identiti lelaki itu belum dikenal pasti kerana tiada pengenalan diri ditemui pada mayat.

“Pemeriksaan pada badan mangsa mendapati tiada suntikan BCG (Bacillus Calmette Guerin) dan kemungkinan besar mangsa ialah warga asing.

“Namun, pihak polis perlu menunggu laporan cap jari untuk mengesahkan identiti mangsa dan kita percaya keputusan akan diketahui dalam tempoh terdekat,” katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Baharudin berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Shah Alam pada pagi tadi, mendapati mangsa mati akibat tiga kesan tikaman di dada dan abdomen.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Siasatan kes ini sedang dijalankan dan buat masa ini pihak polis belum melakukan sebarang tangkapan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Yong Meng Heng di talian 019-5753399 atau 03-55202222.

Semalam BH melaporkan bau busuk dari sebuah longkang membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki yang lengkap berpakaian di lokasi berkenaan.

Mayat lelaki yang dianggarkan berusia 30-an itu, ditemui seorang peniaga Pasar Pagi Ahad di kawasan parkir Jalan Anggerik Mokara.

Berita Harian X