Sabtu, 31 Ogos 2019 | 5:09pm
Seorang lelaki bertopeng maut ditembak selepas cuba menyerang anggota polis dalam kejadian di kawasan perumahan Palm Height, awal pagi tadi. - Ihsan PDRM
Seorang lelaki bertopeng maut ditembak selepas cuba menyerang anggota polis dalam kejadian di kawasan perumahan Palm Height, awal pagi tadi. - Ihsan PDRM

Lelaki disyaki penyamun maut ditembak

LAHAD DATU: Seorang lelaki bertopeng maut ditembak selepas cuba menyerang polis dalam kejadian di kawasan perumahan Palm Height, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 pagi, suspek berusia 28 tahun yang dipercayai warga Indonesia dikejar sepasukan anggota polis sebelum sebelum melibas parang samurai sepanjang 0.7 meter kepada anggota polis yang cuba menahannya.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, ketika menjalankan operasi ‘Op Ambang’, anggota polis menerima makluman kejadian cubaan samun dan pecah rumah di kawasan berkenaan.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, beliau mengetuai sepasukan anggota polis ke lokasi sebelum bertembung dengan suspek di kawasan ladang sawit di belakang kawasan perumahan berkenaan.

“Suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan dan memakai topeng muka serta memegang sebilah samurai panjang tanpa sarung.

“Polis kemudiannya memperkenalkan diri namun suspek bertindak melarikan diri sehingga memaksa pasukan polis mengejar suspek. Polis turut memberikan amaran kepada suspek untuk menyerah diri,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Nasri berkata, suspek berjaya dihampiri namun bertindak melibas pedang samurai ke arah anggota polis sehingga memaksa anggota melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri.

Katanya, suspek rebah dan dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Setakat ini, identiti masih belum dikenal pasti dan mayat suspek dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh,” katanya.

Berita Harian X