Jumaat, 30 Ogos 2019 | 12:52pm
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui lemas di Sungai Kedah, Anak Bukit, Alor Setar, pagi tadi. - Foto Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui lemas di Sungai Kedah, Anak Bukit, Alor Setar, pagi tadi. - Foto Zuliaty Zulkiffli

Pelajar tahfiz hilang ditemui lemas

ALOR SETAR: Pelajar tahfiz, Muhammad Shukri Amri Kadir yang dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Kedah, Anak Bukit, di sini, semalam ditemui lemas, pagi tadi.

Mayat mangsa ditemui jam 9.57 pagi oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata mangsa yang berusia 19 tahun ditemui kira-kira 20 meter di dasar sungai berkenaan dan tidak jauh dari tempat dilaporkan terjatuh semalam.

“Mayat mangsa ditemui dalam tempoh 22 jam iaitu dari masa dia dilaporkan terjatuh pada jam 2.40 petang semalam.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat dan operasi tamat jam 10.30 pagi,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian mangsa, di sini.

Katanya, operasi hari kedua itu turut disertai pihaknya, JBPM, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata anggotanya menghadapi kesukaran untuk mencari mangsa berikutan keadaan struktur di dasar sungai yang berlekuk dan berbatu.

“Keadaan itu menyebabkan kita mengambil masa untuk menemui mangsa.

“Operasi disertai 12 anggota PPDA dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dan Jitra,” katanya.

BH Online semalam melaporkan, seorang pelajar lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakannya di belakang Istana Anak Bukit, di sini.

Mangsa dipercayai tenggelam cuba diselamatkan rakannya namun gagal.

Berikutan itu rakan mangsa menghubungi bomba untuk memaklumkan kejadian berkenaan.

Berita Harian X