Khamis, 29 Ogos 2019 | 7:20pm
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari mangsa, Muhammad Shukri Amri Kadir yang dikhuatiri lemas ketika mandi sungai bersama rakannya di belakang Istana Anak Bukit, Alor Setar, hari ini. - Foto BERNAMA
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari mangsa, Muhammad Shukri Amri Kadir yang dikhuatiri lemas ketika mandi sungai bersama rakannya di belakang Istana Anak Bukit, Alor Setar, hari ini. - Foto BERNAMA

Remaja mandi sungai di belakang istana dikhuatiri lemas

ALOR SETAR: Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi sungai bersama rakannya di belakang Istana Anak Bukit, dekat sini, hari ini.

Muhammad Shukri Amri Kadir, 19, dipercayai tiba-tiba tenggelam dan rakannya cuba menyelamatkannya, namun gagal.

Rakannya kemudian menghubungi anggota bomba untuk mendapatkan bantuan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohammadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.42 petang.

Katanya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba di lokasi jam 2.53 petang.

“Operasi disertai empat pegawai dan sembilan anggota bersama dua jentera dan sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta sebuah motosikal RIM.

“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra bersama sebuah bot penyelamat dari BBP Alor Setar turut diarahkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat ketika ini sedang giat dijalankan.

Ketua BBP Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba, Ahmad Naufal Abdullah, dan Penolong Kanan Penguasa Bomba Anbarasan Yasiminan (KOK Zon 1) turut berada di lokasi bagi membantu melancarkan operasi ini.

Berita Harian X