Selasa, 27 Ogos 2019 | 9:46am
Mayat pelancong Perancis, Bilel Fadloun Saber, 21, ditutup oleh saksi kejadian selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Temonyong, Langkawi. - Foto ihsan Pembaca
Mayat pelancong Perancis, Bilel Fadloun Saber, 21, ditutup oleh saksi kejadian selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Temonyong, Langkawi. - Foto ihsan Pembaca

Pelancong Perancis maut digilis kereta

LANGKAWI: Seorang pelancong Perancis maut digilis kereta di Jalan Temonyong-Chenang di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.18 pagi itu, mangsa, Bilel Fadloun Saber, 21, maut di tempat kejadian akibat parah pada bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata mangsa yang menunggang skuter Modenas Karisma dalam perjalanan menghala ke Pantai Chenang.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dikatakan cuba memotong kenderaan di hadapannya, namun gagal dan menyebabkan dia terjatuh di laluan bertentangan.

“Sebuah kereta dipandu lelaki berusia 25 tahun yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan merempuh mangsa kerana jarak terlalu dekat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati tiada kerosakan serius pada motosikal, manakala kereta yang merempuhnya hanya mengalami kerosakan kecil.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Langkawi untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X