Ahad, 25 Ogos 2019 | 5:29pm
Anggota RELA cedera di bahagian belakang dan tangan dipukul oleh dua lelaki bermotosikal yang menyamun mangsa di hadapan JPN Kerteh, kelmarin. - Ihsan pembaca
Anggota RELA cedera di bahagian belakang dan tangan dipukul oleh dua lelaki bermotosikal yang menyamun mangsa di hadapan JPN Kerteh, kelmarin. - Ihsan pembaca

Anggota RELA cedera disamun 2 lelaki bermotosikal

KEMAMAN: Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) cedera di bahagian belakang dan tangan selepas disamun dua lelaki bermotosikal ketika sedang berkawal di hadapan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Kerteh di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 9.30 pagi itu, mangsa wanita berusia 40 tahun kerugian lebih RM400 yang apabila wang tunai dan telefon pintar miliknya dilarikan penjenayah.

Menurut sumber, kejadian berlaku sewaktu mangsa sedang bertugas bersendirian mengawal pintu masuk JPN Kerteh selepas rakan setugasnya keluar untuk membeli makanan.

Katanya, wanita terbabit didekati dua lelaki tidak dikenali menaiki motosikal Yamaha Sport warna biru dan secara tiba-tiba salah seorang daripada suspek meminta wang daripada mangsa.

“Mangsa memaklumkan tidak mempunyai wang, namun lelaki terbabit menarik mangsa dan mengambil RM200 daripada poket seluar wanita berkenaan sebelum meluru ke arah motosikal yang ditunggang rakannya untuk melarikan diri.

“Tersentak dengan kejadian itu, mangsa mengeluarkan telefon bagi menghubungi suami untuk mendapatkan bantuan, namun suspek datang semula ke arahnya dan merampas telefon terbabit selepas berlaku pergelutan.

“Suspek bertindak memukul wanita berkenaan menggunakan kayu sehingga mangsa rebah, sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera di bahagian belakang dan tangan dibantu oleh orang awam yang berada berdekatan dan mereka juga menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Mangsa di hantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan dan dilaporkan stabil tetapi masih ditahan di wad.

“Pihak polis juga berjaya menahan salah seorang suspek hari ini dan sedang berusaha mengesan rakannya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramli, ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian samun membabitkan anggota RELA itu.

“Susulan kejadian, pihak polis berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 30 tahun di tepi jalan Air Jerneh, Kemasik di sini jam 10 pagi tadi.

“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan saringan ujian air kencing turut mendapati lelaki terbabit positif Methamphetamine.

“Permohonan reman akan dilakukan esok untuk siasatan lanjut mengikut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan pihak polis juga sedang giat mengesan rakan suspek,” katanya.

Berita Harian X