Ahad, 25 Ogos 2019 | 11:19am

Polis Marin cekup mat gian

LABUAN: Enam lelaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam Ops Gelora Khas di beberapa lokasi di sini.

Semua berusia antara 22 hingga 38 tahun yang ditahan dalam operasi bermula Jumaat lalu dan berakhir semalam itu didapati positif dadah dan memiliki syabu ketika pemeriksaan dibuat.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata operasi dilaksanakan bersama pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan.

“Seramai 44 individu termasuk juragan, kru bot penumpang dan bot nelayan diperiksa dalam operasi itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lima daripadanya didapati positif dadah dan seorang lagi lelaki berusia 30 tahun didapati memiliki syabu yang dianggarkan seberat 0.12 gram,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Mohamad Pajeri berkata, mereka ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 51 tahun selepas didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Terdahulu, Mohamad Pajeri berkata, operasi itu menumpukan pengguna pengangkutan laut terutama juragan, kru bot penumpang, bot nelayan dan teksi air yang beroperasi di sekitar perairan Labuan.

“PPM sentiasa menggerakkan aset dan bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan untuk melaksanakan rondaan serta operasi pesisir pantai bagi memastikan segala aktiviti yang menyalahi undang-undang dapat dibanteras.

“Selain itu operasi ini bagi memastikan keselamatan pengguna laut serta perairan negara terjamin. Justeru, kerjasama daripada masyarakat amat diperlukan dalam menyampaikan maklumat kepada PPM,” katanya.

Berita Harian X