Selasa, 20 Ogos 2019 | 10:46am
Anggota bomba Gua Musang mengeluarkan mayat seorang penumpang yang maut manakala pemandunya melarikan diri selepas kenderaan yang mereka naiki membawa muatan daun ketum terbabas sebelum merempuh belakang treler kosong, awal pagi tadi. - Ihsan pembaca
Anggota bomba Gua Musang mengeluarkan mayat seorang penumpang yang maut manakala pemandunya melarikan diri selepas kenderaan yang mereka naiki membawa muatan daun ketum terbabas sebelum merempuh belakang treler kosong, awal pagi tadi. - Ihsan pembaca

Kereta bawa muatan daun ketum kemalangan, seorang maut

GUA MUSANG: Seorang lelaki maut manakala rakannya melarikan diri selepas kenderaan mereka naiki yang membawa muatan daun ketum terbabas sebelum merempuh belakang treler kosong, awal pagi tadi.

Kejadian pada jam 6 pagi di Kilometer 46, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Paloh 2, di sini menyebabkan penumpang maut.

Bagaimanapun identiti mangsa belum dikenal pasti.

Kejadian itu dipercayai berlaku ketika kereta dinaiki dua lelaki berkenaan dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu rakan mangsa hilang kawalan sebelum merempuh belakang treler.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin, berkata akibat rempuhan itu, mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dan pemandu kereta itu melarikan diri.

“Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang bergegas ke lokasi bagi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

“Berdasarkan maklumat, kereta dinaiki mangsa itu penuh dengan daun ketum termasuk di tempat duduk belakang dan dalam bonet.

“Kita masih menyiasat perkara itu dan mayat mangsa di hantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian jam 6.25 pagi.

Katanya, 11 anggota ke lokasi dengan dua jentera bersama kenderaan kecemasan bomba (EMRS) untuk membantu mangsa kemalangan.

“Kita mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mayat mangsa tersepit sebelum diserahkan kepada polis untuk urusan lanjut,” katanya.

Berita Harian X