X
Sabtu, 17 Ogos 2019 | 7:27pm
Anggota BBP Langkawi membantu lelaki warga Arab berusia 22 tahun yang mengalami kecederaan selepas terjatuh pada ketinggian kira-kira 21 meter di Air Terjun Telaga Tujuh. - Ihsan Bomba
Anggota BBP Langkawi membantu lelaki warga Arab berusia 22 tahun yang mengalami kecederaan selepas terjatuh pada ketinggian kira-kira 21 meter di Air Terjun Telaga Tujuh. - Ihsan Bomba

Pemuda Arab Saudi cedera di air terjun Telaga Tujuh

LANGKAWI: Seorang lelaki warga negara Arab Saudi parah selepas dipercayai terjatuh ketika mandi-manda di air terjun Telaga Tujuh, di sini petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa, Turki Hisham A Al Ghassab, 22, cedera di bahagian kepala, muka dan kaki kiri selepas terjatuh pada ketinggian kira-kira 21 meter.

Ini adalah tragedi kedua membabitkan pelancong dari Asia Barat selepas seorang remaja berusia 17 tahun dari Yemen lemas kerana membuka jaket keselamatan untuk membuat swafoto di atas jet skit ketika laut bergelora di Pantai Chenang, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohammadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.38 petang dan sepasukan anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi tiba di lokasi jam 3.05 petang.

Beliau berkata, operasi diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Ashmar Mohd Mazlan bersama sembilan anggota dan dua jentera termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Katanya, anggota Fire Post Pantai Chenang turut membantu dalam operasi itu.

“Sebaik tiba di lokasi, anggotanya dimaklumkan terdapat seorang lelaki terjatuh ketika melakukan aktiviti rekreasi (mandi air terjun).

“Anggaran ketinggian mangsa terjatuh lebih kurang 21 meter. Mangsa turut dibantu orang awam dan anggota EMRS memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera di bahagian kepala, muka dan kaki sebelah kiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohammadul Ehsan berkata, mangsa kemudian dibawa ke hospital dengan menggunakan ambulans KKM.

Beliau berkata, operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.35 petang.

Berita Harian X