Jumaat, 16 Ogos 2019 | 5:28pm

Ketua Geng Angke tumpas

PADAWAN: Seorang lelaki warga Indonesia dipercayai ketua Geng Angke, antara kumpulan curi motosikal paling aktif di daerah ini, berjaya ditahan di Kota Sentosa, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan, berkata suspek berjaya ditahan kira-kira jam 10.30 pagi, bertindak atas maklumat risikan.

“Suspek berjaya ditahan kira-kira enam jam selepas berjaya meloloskan diri. Suspek sebelum itu cuba melarikan diri ketika cuba ditahan sepasukan anggota Cawangan Tugas-Tugas Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan yang terserempak dengannya bersama dua lagi rakannya.

“Dalam soal siasat dijalankan, suspek mengaku melarikan diri bersama dua rakannya selepas mencuri motosikal di sebuah kedai makan. Dia turut mengaku terbabit dengan lebih 10 kes curi kenderaan di Padawan dan kawasan sekitarnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Aidil berkata, pihaknya berjaya menemui semula tiga motosikal yang dilaporkan hilang di MetroCity, Sekama dan Sungai Maong.

Katanya, ketiga-tiga motosikal terbabit dijumpai berhampiran sebuah kedai makan di Kota Sentosa yang ditinggalkan tiga suspek disyaki anggota ‘Geng Angke.’

“Tiga suspek bertindak turun dari motosikal sebaik sahaja menyedari kehadiran polis dan usaha mengesan mereka tidak berjaya sebelum tertangkapnya ketua mereka.

“Pemeriksaan lanjut ke atas ketiga-tiga motosikal yang ditinggalkan di lokasi kejadian didapati ia motosikal curi dan terdapat kesan umpil pada bahagian kuncinya,” katanya.

Kesemua motosikal serta suspek kemudian dibawa ke IPD Padawan untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X