Khamis, 15 Ogos 2019 | 5:26pm
TEMPAT kejadian seorang wanita melecur muka dan badan selepas disimbah asid di hadapan sebuah bank di Jalan Burma, Pulau Tikus, malam tadi.
TEMPAT kejadian seorang wanita melecur muka dan badan selepas disimbah asid di hadapan sebuah bank di Jalan Burma, Pulau Tikus, malam tadi.

Penasihat undang-undang bank melecur disimbah asid

GEORGETOWN: Seorang penasihat undang-undang sebuah bank melecur muka, tangan dan paha akibat disimbah asid oleh dua lelaki ketika melintas jalan untuk ke tempat letak kereta di Jalan Burma, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, wanita berusia 48 tahun berkenaan sebelum itu didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal sebelum pemboncengnya bertindak menyimbah cecair, dipercayai asid ke arah muka mangsa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata mangsa yang kesakitan kemudian melarikan diri dengan masuk semula ke dalam bank sambil menjerit meminta pertolongan.

“Wanita itu kemudian menghubungi ahli keluarga dan rakannya yang tinggal berdekatan kawasan kejadian untuk memaklumkan insiden terbabit.

“Mereka yang tiba di lokasi kemudian memberi rawatan awal sebelum mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang dengan ambulans,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Che Zaimani berkata, mangsa mendakwa dihampiri dua lelaki berkulit gelap yang menaiki motosikal ketika dia mahu melintas jalan.

“Motosikal dinaiki dua lelaki terbabit secara tiba-tiba melintas di hadapan wanita itu sebelum pembonceng menyimbah asid ke muka mangsa.

“Mangsa tidak sempat melihat jenis serta nombor pendaftaran motosikal terbabit kerana kejadian berlaku begitu pantas,” katanya.

Katanya, mangsa juga mendakwa tidak mempunyai musuh atau bermasalah dengan mana-mana pihak.

“Polis sedang melakukan siasatan lanjut dan akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian dalam usaha memburu suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian X