Ahad, 11 Ogos 2019 | 11:40am
ORANG ramai membantu mengangkat mayat mangsa kemalangan di Jalan Klebang. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
ORANG ramai membantu mengangkat mayat mangsa kemalangan di Jalan Klebang. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Maut motosikal masuk longkang

MELAKA: Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya terjatuh ke dalam longkang dalam kejadian di Jalan Klebang, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang itu, mangsa Shaiful Fahmi Ahmad, 34, maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

Difahamkan ketika kejadian, bapa kepada dua anak perempuan berusia 11 bulan dan empat tahun itu dalam perjalanan untuk menghantar pesanan makanan kepada pelanggan.

Rakan mangsa, Mohd Nor Hazri Mohd Amin, 26, berkata sepanjang tiga bulan mengenali mangsa dia seorang baik dan senang bergaul.

Katanya, Shaiful Fahmi baru tiga bulan bekerja sebagai penghantar makanan dan dia seorang yang bekerja keras.

“Tiada apa yang lain, semalam (kelmarin) ketika di rumah berjumpanya pun seperti biasa sahaja.

“Tetapi kebelakangan ini agak pelik apabila dia akan bangun antara jam 4 atau 5 pagi untuk ke bilik dan melihat kami yang tengah tidur,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka, di sini, malam tadi.

Katanya, jenazah rakannya itu akan dikebumikan di kampung halamannya di Felda Tenggaroh 3, Mersing, Johor.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal Yahama 135 LC dalam perjalanan dari arah bandar Melaka menghala ke Klebang.

“Kemalangan dikatakan berlaku apabila mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum terjatuh ke dalam longkang.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X