Sabtu, 10 Ogos 2019 | 3:52pm
ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM).
ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Langkawi kembali tenang, tumpuan beralih kerja pembersihan

LANGKAWI: Selepas dikejutkan dengan kejadian ribut yang membadai banyak lokasi di pulau peranginan ini malam tadi, keadaan hari ini kembali pulih dan tenang dari ‘kekecohan’ yang berlaku.

Jika semalam siren pelbagai agensi penyelamat kedengaran hampir setiap masa, hari ini situasi lebih tenang dengan penduduk pulau ini keluar meneruskan aktiviti harian mereka seperti biasa.

Pegawai Bencana Operasi dan Latihan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Langkawi, Leftenan (PA) Azamshah Apearal, berkata keadaan cuaca hari ini dilaporkan baik dan semua agensi terbabit memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan pokok tumbang.

“Semua agensi terbabit bertindak mengikut tanggungjawab masing-masing. Bagi APM Daerah Langkawi sendiri seramai 40 anggota ditugaskan di 10 lokasi sekitar Padang Matsirat, Kelibang, Bukit Malut hari ini untuk meneruskan operasi membersihkan pokok tumbang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Langkawi, APM Daerah Langkawi serta Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan giat melakukan kerja-kerja pembersihan kesan ribut di beberapa lokasi seperti sekitar Kampung Bendang Baru, Kampung Padang Wahid, Bukit Malut, Ulu Melaka dan Temonyong. – BERNAMA

Berita Harian X