Sabtu, 10 Ogos 2019 | 1:24pm
Pokok yang tumbang di sebuah rumah di Jalan Lim Lean Teng, Georgetown akibat angin kencang. Dalam kejadian itu, dua kereta rosak dihempap pokok, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa berlaku. - Foto Danial Saad

98 lokasi di Seberang Perai terjejas dilanda ribut

GEORGETOWN: Sekurang-kurangnya 128 pokok di 98 lokasi di sekitar Seberang Perai tumbang ekoran ribut kencang susulan tempias daripada taufan Lekima, malam tadi.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Datuk Rozali Mohamud, berkata 120 daripada pokok tumbang itu didapati menghalang lalu lintas, manakala tiga lagi menghempap rumah orang ramai.

Keadaan pokok yang tumbang akibat angin kencang serta ribut di persimpangan bulatan Gelugor, Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
Keadaan pokok yang tumbang akibat angin kencang serta ribut di persimpangan bulatan Gelugor, Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

"Tiga lagi pokok tumbang di kawasan lapang, selain lima kereta turut terjejas ekoran pokok yang tumbang di jalan raya. Kejadian direkod berlaku sejak jam 10.30 malam hingga 12.30 tengah malam tadi.

"Kelajuan angin direkodkan pada tahap 100.8 kilometer sejam (km/j) dengan taburan hujan sebanyak 53 milimeter (mm) tetapi tiada kejadian banjir dilaporkan berlaku.

"Dua pusat pemindahan dibuka di daerah Seberang Perai Tengah, masing-masing di Masjid Kuala Juru yang menempatkan empat keluarga dan di Dewan Kafa Kuala Juru, membabitkan dua keluarga," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berita Harian X