Jumaat, 9 Ogos 2019 | 1:01pm
Anggota bomba yang menyertai operasi mencari Nora Anne membantu mangsa kemalangan Proton Satria dan Perodua Alza di Jalan Jelebu hari ini. - Foto Ihsan bomba
Anggota bomba yang menyertai operasi mencari Nora Anne membantu mangsa kemalangan Proton Satria dan Perodua Alza di Jalan Jelebu hari ini. - Foto Ihsan bomba

Mangsa kemalangan diselamatkan bomba sertai operasi SAR Nora Anne

SEREMBAN: Enam mangsa yang cedera akibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Jelebu, dekat sini, diselamatkan anggota bomba yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata anggota bomba terbabit sedang dalam perjalanan untuk menyertai operasi SAR dan kebetulan melalui kawasan kemalangan itu.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan dua wanita cedera parah manakala empat lelaki cedera ringan.

Terdahulu, BH difahamkan kejadian kira-kira jam 8 pagi itu berlaku apabila kereta jenis Proton Satria yang dinaiki empat mangsa dari arah Seremban menghala ke Jelebu dipercayai cuba memintas sebuah motosikal sebelum bertembung dengan Perodua Alza dari arah bertentangan.

Anggota bomba yang menyertai operasi mencari Nora Anne membantu mangsa kemalangan Proton Satria dan Perodua Alza di Jalan Jelebu hari ini. - Foto Ihsan bomba
Anggota bomba yang menyertai operasi mencari Nora Anne membantu mangsa kemalangan Proton Satria dan Perodua Alza di Jalan Jelebu hari ini. - Foto Ihsan bomba

Alza itu kemudian dilanggar sebuah motosikal dari arah belakang selepas penunggangnya tidak sempat mengelak kenderaan terbabit.

“Seramai lapan pegawai dan anggota yang dalam perjalanan ke operasi SAR pagi ini hadir membantu semua mangsa terbabit. Kemalangan itu menyebabkan dua wanita mengalami kecederaan parah dan empat lelaki cedera ringan.

“Empat mangsa yang tersepit dalam kereta Satria itu dikeluarkan anggota beberapa minit kemudian,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, semua mangsa dihantar ke hospital menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan pihak ambulans untuk rawatan.

“Anggota bomba kemudian meneruskan operasi SAR yang kini sudah masuk hari keenam hari ini,” katanya.

Berita Harian X