Rabu, 7 Ogos 2019 | 7:12pm
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas sejumlah tembakau kunyah dipercayai tiruan dan memproses bahan berkenaan dalam satu serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Bukit Merah, Lahat. NSTP/Ihsan KPDNHEP
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas sejumlah tembakau kunyah dipercayai tiruan dan memproses bahan berkenaan dalam satu serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Bukit Merah, Lahat. NSTP/Ihsan KPDNHEP

Tembakau kunyah tiruan RM240,000 dirampas

IPOH: Sejumlah tembakau kunyah dipercayai tiruan dirampas dalam serbuan di sebuah premis memproses dan menjual bahan itu di Kawasan Perindustrian Bukit Merah, Lahat, di sini, semalam.

Serbuan jam 11 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya bersama dua wakil cap dagang.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Perak, Khalid Tik, berkata pemeriksaan ke atas premis itu menemui sejumlah paket plastik pembungkus tembakau kunyah yang disyaki tiruan dan enam jenis mesin memproses bahan berkenaan.

“Sehubungan itu, pihak KPDNHEP Putrajaya bertindak menyita plastik pembungkus tembakau kunyah sebanyak 80 unit paket kecil, 15 unit paket bersaiz A4, dua unit bungkusan putih yang disyaki tembakau kunyah dan enam unit mesin.

“Kesemua barang sitaan disimpan di stor eksibit KPDNHEP Perak untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan keseluruhan bagi serbuan itu dianggarkan RM240,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Khalid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu mendedahkan untuk pembekalan atau mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalan untuk pembekalan apa-apa barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan.

“KPDNHEP memandang serius terhadap peniaga yang menggunakan perihal dagangan palsu ke atas barangan berjenama yang melanggar undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

“Peniaga perlu tahu kesalahan membabitkan perihal dagangan termasuklah suatu petunjuk, sama ada secara langsung atau tidak dan yang diberikan dengan apa cara berkenaan dengan barang berhubung cap dagangan yang berdaftar mengikut Akta Cap Dagang 1976,” katanya.

Berita Harian X