Selasa, 6 Ogos 2019 | 1:29pm
PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Persekutuan Labuan berjaya mematahkan satu cubaan menyeleweng minyak diesel dalam Op Gelora di perairan Pulau Papan, Labuan. - Foto ihsan PPM
PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Persekutuan Labuan berjaya mematahkan satu cubaan menyeleweng minyak diesel dalam Op Gelora di perairan Pulau Papan, Labuan. - Foto ihsan PPM

Polis marin patahkan cubaan seleweng diesel

LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Persekutuan Labuan berjaya mamatahkan satu cubaan menyeleweng minyak diesel bernilai RM134,000 di perairan Pulau Papan, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.50 malam itu, sepasukan bot ronda PPM yang sedang menjalankan rondaan Op Gelora di kawasan perairan berkenaan terserempak dengan dua bot dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot berkenaan melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel dipercayai cuba diselewengkan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata dua bot berkenaan dikendalikan dua juragan warga tempatan berusia 36 dan 47 tahun.

Katanya, kedua-dua kapal kargo itu didapati sedang melakukan aktiviti pemindahan sebanyak 38,000 liter minyak diesel tanpa sebarang permit atau kebenaran daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kedua-dua juragan juga ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan secara menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, pesalah juga boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta yang sama yang memperuntuk hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Katanya, semua rampasan dan tangkapan kemudiannya dibawa ke Jeti PPM untuk proses dokumentasi sebelum diserahkan kepada KPDNHEP untuk tindakan selanjutnya.

Mohamad Pajeri berkata, pihaknya akan terus menjalankan rondaan dan operasi di perairan bagi memastikan aktiviti yang menyalahi undang-undang dapat dibanteras dan keselamatan perairan negara terjamin.

Berita Harian X