Ahad, 4 Ogos 2019 | 6:31pm
Seorang wanita berusia 27 tahun nekad membuat laporan polis selepas 14 tahun menjadi pemuas nafsu bapa angkatnya. - Foto hiasan
Seorang wanita berusia 27 tahun nekad membuat laporan polis selepas 14 tahun menjadi pemuas nafsu bapa angkatnya. - Foto hiasan

14 tahun jadi hamba seks

LAHAD DATU: Seorang wanita berusia 27 tahun nekad membuat laporan polis selepas 14 tahun menjadi pemuas nafsu bapa angkatnya.

Mangsa mendakwa tinggal bersama lelaki itu sejak 2004 di tiga kawasan setinggan berasingan sekitar daerah ini selepas ibu bapanya bercerai.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa kali terakhir dirogol pada Disember lalu.

Katanya, sepanjang tinggal bersama suspek, mangsa sentiasa diberi amaran agar merahsiakan perkara itu, malah suspek turut mengugut mahu membunuh anggota keluarganya jika perbuatan terkutuknya terbongkar.

“Selepas 14 tahun berada dalam ketakutan dan trauma, mangsa akhirnya memberanikan diri membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

“Mengikut maklumat yang diterima, mangsa pertama kali dirogol pada 2004 ketika berusia 12 tahun. Difahamkan, mangsa bersama dua adiknya diserahkan kepada suspek untuk dijaga sejurus ibu bapa mereka bercerai,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Nasri berkata, susulan laporan polis dibuat, mangsa kemudian dihantar ke di Hospital Lahad Datu untuk pemeriksaan lanjut dan didapati kesan koyakan pada tisu hymen di kemaluan mangsa.

“Polis kini sedang giat menjalankan operasi memburu suspek yang dikenali sebagai Mohd Insang. Polis mohon bantuan orang awam untuk memberikan maklumat sehingga suspek dapat ditangkap.

“Siasatan lanjut sedang giat dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian X