Ahad, 4 Ogos 2019 | 1:16pm
Sarawak Energy Berhad.
Sarawak Energy Berhad.

Juruelektrik bantu curi elektrik

KUCHING: Seorang juruelektrik berusia 20 tahun ditangkap kerana membantu pengusaha pusat urut mencuri elektrik di premis yang terletak di Tabuan Tranquility, di sini, beberapa hari lalu.

Juruelektrik terbabit ditangkap oleh pasukan anticuri elekrik terdiri daripada kakitangan Sarawak Energy Berhad (SEB), Syarikat SESCO Berhad (SESCO), Unit Pemeriksa Elektrik (EIU) Kementerian Utiliti dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika dia sedang melakukan kerja menyambung wayar.

Operasi itu dilancarkan hasil aduan awam dan pengawasan di premis berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Jurucakap SEB dalam kenyataan, berkata juruelektrik itu kini ditahan di Balai Polis Tabuan Jaya, manakala penyelianya juga dipanggil oleh polis untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 33 (5) Ordinan Elektrik.

“Berdasarkan rekod, pengendali premis berkenaan adalah pesalah berulang apabila sudah enam kali ditangkap mencuri elektrik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan menganggarkan kadar penggunaan elektrik yang sudah digunakan premis terbabit adalah kira-kira RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.

Justeru, SEB melalui EIU dan Pejabat Peguam Negara akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendali premis berkenaan.

Kes itu adalah kecurian elektrik kedua di kawasan Tabuan Tranquility tahun ini, dengan kes pertama berlaku awal tahun di sebuah kawasan perumahan dan pemilik premis juga sudah ditangkap.

“SEB akan terus bekerjasama rapat dengan EIU dan polis dalam mengekang kegiatan haram ini mengikut Seksyen 33 (5) Ordinan Elektrik, yang membawa hukuman denda RM100,000 dan atau lima tahun penjara,” katanya.

Orang ramai boleh melaporkan sebarang maklumat kecurian elektrik melalui hotline Sarawak Energy di 082-443535 dan semua maklumat akan disimpan secara rahsia.

Berita Harian X