Selasa, 30 Julai 2019 | 9:00pm

Budak lemas selepas terjatuh

LANGKAWI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun lapan bulan lemas selepas terjatuh ke dalam sungai berhampiran Pangkalan Nelayan Kampung Sungai Menghulu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Aidan Iskandar Muhd Borhan yang ditemui dan dibawa naik ke darat oleh jiran disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Langkawi (HL).

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata ketika kejadian mangsa dikatakan bermain bersama beberapa sepupunya sebelum terjatuh ke dalam sungai.

“Seorang sepupu mangsa dikenali Muhammad Alif Ramadan berusia tujuh tahun balik ke rumah dan memaklumkan kejadian yang menimpa mangsa sebelum beberapa jiran berhampiran segera ke lokasi untuk cuba menyelamat.

“Mangsa kemudian dilihat dalam keadaan timbul di permukaan air sebelum dibawa ke unit kecemasan HL untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini. hari ini.

Mohd Iqbal berkata, ketika mendapatkan rawatan, pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Siasatan berkaitan kejadian masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Berita Harian X