Selasa, 30 Julai 2019 | 7:09pm
LOKASI kejadian mangsa, Norfadzilah Din pembonceng motosikal maut selepas motosikal ditunggang suaminya dilanggar sebuah lori, di Batu 6 Jalan Tanjung Tualang. - Foto ihsan PDRM
LOKASI kejadian mangsa, Norfadzilah Din pembonceng motosikal maut selepas motosikal ditunggang suaminya dilanggar sebuah lori, di Batu 6 Jalan Tanjung Tualang. - Foto ihsan PDRM

Pembonceng maut

BATU GAJAH: Seorang wanita yang juga pembonceng, maut apabila motosikal ditunggang suaminya dilanggar sebuah lori di Batu 6 Jalan Tanjung Tualang, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi tadi itu, Norfadzilah Din, 55, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala suaminya Ramli Dahalan, 57, cedera di bahagian kepala dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan motosikal jenis Honda Vario dan lori tiga tan.

“Kemalangan dipercayai berlaku ketika lori berkenaan dalam perjalanan dari Kampar ke Batu Gajah dan apabila sampai di tempat kejadian, motosikal dinaiki suami isteri itu yang berada di bahagian kiri jalan dalam arah sama dengan lori masuk ke tengah jalan secara mengejut.

“Pemandu lori lelaki berusia 37 tahun cuba mengelak sehingga masuk ke laluan bertentangan ke bahu jalan sebelah kanan, namun terlanggar juga di bahagian hadapan sebelah kiri motosikal berkenaan menyebabkan kedua-dua mangsa jatuh di atas jalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kemalangan itu mengakibatkan pembonceng motosikal digilis di bahagian kepala oleh lori berkenaan dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang pula mengalami kecederaan di bahagian kepala sementara pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

“Punca kemalangan dipercayai akibat motosikal terbabit hendak memasuki ke tengah jalan untuk membuat pusingan U.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X