Ahad, 28 Julai 2019 | 11:33pm
Seorang pelakon lelaki berusia 27 tahun ditahan polis Sabtu lalu kerana memukul bekas tunangnya selepas wanita itu meminta dia memutuskan hubungan sejenis. - Foto hiasan
Seorang pelakon lelaki berusia 27 tahun ditahan polis Sabtu lalu kerana memukul bekas tunangnya selepas wanita itu meminta dia memutuskan hubungan sejenis. - Foto hiasan

'Dituduh gay, pelakon belasah bekas tunang'

SERDANG: Seorang pelakon lelaki berusia 27 tahun ditahan polis Sabtu lalu kerana memukul bekas tunangnya selepas wanita itu meminta dia memutuskan hubungan sejenis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner, Ismadi Borhan berkata kejadian berlaku pada jam 9 malam 26 Jun lalu, apabila pelakon terbabit datang ke rumah wanita itu, yang juga pelakon, di Taman Puncak Jalil, dekat Seri Kembangan.

Katanya, pelakon lelaki itu kemudian didakwa memaksa wanita itu masuk ke kereta dan terus memaki hamun dengan mengeluarkan kata-kata kesat.

“Kejadian berpunca berpunca daripada pengadu (bekas tunang) yang meminta suspek untuk tidak meneruskan hubungan sejenis dengan rakannya.

“Suspek yang marah, bertindak mencekik leher, menumbuk muka dan mencengkam mata serta menumbuk mulut pengadu hingga berdarah.

“Pengadu ada mengambil gambar tetapi dipadam suspek selain diugut. Suspek kemudian memutuskan pertunangan mereka pada malam 21 Julai lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Ismadi berkata, mangsa dirujuk ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan, namun tiada kesan kecederaan ditemui berikutan kejadian sudah lama berlaku.

“Pengadu lambat membuat laporan polis kerana ingin menyelesaikan secara baik tetapi suspek bertindak berlebihan,” katanya.

Susulan itu, kata beliau, pelakon lelaki terbabit ditahan polis selepas tampil menyerah diri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang malam Sabtu lalu.

Beliau berkata, hasil soal siasat suspek mengaku melakukan perbuatan terbabit dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai diambil keterangan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja selain melakukan ugutan.

Berita Harian X