Sabtu, 27 Julai 2019 | 12:10pm

Penyamun bertopeng bersenjatakan parang larikan rokok

SUNGAI SIPUT: Dua penjenayah bertopeng yang bersenjatakan parang menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Persiaran Komersil, di sini kelmarin dan melarikan pelbagai jenis rokok.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, pekerja kedai serbaneka terpaksa berdepan detik cemas disamun dua lelaki berkenaan, namun tidak diapa-apakan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Video berdurasi satu minit 15 saat memaparkan tindakan dua penyamun bertopeng dan bersenjatakan parang menyamun kedai berkenaan tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu jam 7.40 pagi sebelum siasatan lanjut dijalankan di lokasi kejadian.

Katanya, siasatan dijalankan mendapati dua lelaki bertopeng dengan bersenjatakan parang memasuki kedai berkenaan yang ketika itu dijaga seorang wanita sebelum membawa lari rokok dianggarkan bernilai RM2,000.

“Dua suspek berkenaan dipercayai melarikan diri menggunakan motosikal selepas membawa lari kesemua rokok berkenaan.

“Pekerja wanita berkenaan tidak mengalami kecederaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti kedua-dua suspek berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mohd Khaizam berkata, kedai serbaneka berkenaan dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

DUA penyamun bertopeng dan bersenjatakan parang menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Persiaran Komersil kelmarin dan membawa lari pelbagai jenis rokok. - Foto Ihsan Pembaca
DUA penyamun bertopeng dan bersenjatakan parang menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Persiaran Komersil kelmarin dan membawa lari pelbagai jenis rokok. - Foto Ihsan Pembaca
Berita Harian X