Jumaat, 26 Julai 2019 | 5:53pm

10 minit tempoh larikan tabung masjid

MARANG: Polis sedang mengesan tiga lelaki yang dipercayai melarikan tabung di Masjid Sungai Ikan, Kuala Nerus, awal pagi kelmarin membabitkan kerugian RM300.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail, berkata menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan, tiga lelaki itu mengambil masa hanya 10 minit untuk melarikan tabung di ruang solat wanita dan dirantai pada tiang masjid.

Beliau berkata, kehilangan tabung masjid disedari kira-kira jam 5.30 pagi oleh bilal masjid berkenaan, ketika mahu menunaikan solat Subuh.

Katanya, bilal berkenaan kemudian memaklumkan kejadian kepada pengerusi masjid berusia 66 tahun sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuala Nerus untuk tindakan lanjut.

“Semakan CCTV mendapati dua lelaki berkenaan memasuki masjid pada jam 1.58 pagi dan melarikan tabung masjid, manakala seorang lagi suspek menunggu di luar masjid.

“Sebaik selesai melakukan kegiatan jenayah itu, ketiga-tiga suspek melarikan diri menaiki sebuah kereta,” katanya ketika ditemui pada program 1 Masjid 1 Polis (1M1P) Ketua Polis Terengganu bersama masyarakat di Masjid Haji Muda, Binjai Rendah, di sini hari ini.

Aidi berkata, siasatan pihaknya percaya suspek adalah penduduk di sekitar masjid dan tidak menolak mereka turut terbabit kes penagihan dadah.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk bangunan.

Berita Harian X