Jumaat, 26 Julai 2019 | 10:54am

Abdul Rayyan dipercayai lemas selepas aktiviti 'memancing'

SHAH ALAM: Bayi sembilan bulan yang meninggal dunia dipercayai lemas petang kelmarin, dikatakan ditemui selepas pengasuhnya selesai kegiatan ‘memancing’ dengan 10 anak asuhan di sebuah pusat jagaan (taska) di Seksyen 32, di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata siasatan awal pihaknya mendapati, kira-kira jam 1.45 tengah hari, pemilik taska, seorang wanita tempatan berusia 30 tahun dan tiga pengasuh menjalankan kegiatan itu di dalam bilik pada hari kejadian.

Katanya, kejadian disedari seorang daripada pengasuh selepas selesai kegiatan itu, apabila bayi terbabit ditemui dalam baldi kecil berisi air di bilik air dengan kepalanya ke bawah.

“Pemilik taska kemudian membawa mangsa ke Klinik Desa Jalan Kebun untuk mendapatkan rawatan.

“Pada jam 2.30 petang, ibu mangsa, seorang wanita warga asing berusia 37 tahun, dihubungi oleh pemilik taska memintanya segera pergi ke Klinik Desa Jalan Kebun, Seksyen 31 Shah Alam kerana mangsa mengalami kecemasan.

“Mangsa dibawa ke zon merah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk pemeriksaan lanjut, namun kira-kira jam 4 petang, bayi itu disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Beliau berkata bedah siasat dijalankan pada jam 9 pagi semalam dan punca kematian masih belum diketahui, sementara menunggu laporan makmal manakala tiada kesan penderaan fizikal terhadap mangsa.

Baharudin berkata ketika kejadian, bayi itu baru 10 hari dihantar ke taska berkenaan dan dalam keadaan sihat, dengan bayaran RM350.

Katanya, kebiasaannya wanita yang juga ibu tunggal itu menghantar anak lelaki tunggalnya ke taska berkenaan pada jam 7 pagi sebelum bekerja di sebuah kelab golf di Kota Kemuning dan akan mengambil anaknya pada jam 2 petang.

Bagaimanapun, katanya, kadang kala wanita itu mengambil anaknya lewat petang sekiranya beliau terpaksa bekerja lebih masa.

“Mangsa tidak mempunyai sebarang penyakit. Taska yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) itu terletak di tingkat dua bangunan lot kedai dua tingkat dan beroperasi sejak Disember 2018, dipercayai tanpa lesen.

“Ada tiga pengasuh perempuan wanita tempatan berusia antara 18 dan 22 tahun di taska yang menjaga seramai 25 orang anak asuhan berusia antara sembilan bulan dan tiga tahun. Hanya mangsa yang berusia bawah setahun dijaga di taska itu,” katanya.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengenalpasti punca kejadian dan sama ada berlakunya kecuaian.

“Pemilik taska sudah ditahan kira-kira jam 10 malam tadi untuk siasatan lanjut dan perintah reman akan dipohon pagi ini,” katanya.

Nasib menimpa bayi malang itu, Abdul Rayyan Mijan, tersebar selepas kisahnya dimuat naik dalam akaun Facebook Unit Khas Van Jenazah, berikutan ibu mangsa kurang berkemampuan untuk menguruskan jenazahnya.

Berita Harian X