Jumaat, 26 Julai 2019 | 10:14am
ORANG ramai berusaha memberi bantuan kecemasan kepada Mohd Fazdlan Shahidi (terbaring) selepas ditemui tenggelam dalam air akibat diserang sawan di Pantai Chenang, Langkawi. - Foto ihsan pembaca
ORANG ramai berusaha memberi bantuan kecemasan kepada Mohd Fazdlan Shahidi (terbaring) selepas ditemui tenggelam dalam air akibat diserang sawan di Pantai Chenang, Langkawi. - Foto ihsan pembaca

Operator rekreasi lemas ketika tambat jet ski

LANGKAWI: Seorang operator rekreasi pantai dipercayai lemas akibat diserang sawan ketika sedang mengikat jet ski di Pantai Chenang di sini.

Dalam kejadian pada jam 3.30 petang semalam itu, mangsa, Mohd Fazdlan Shahidi, 31, ditemui tidak sedarkan diri di dalam air sebelum disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Langkawi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata ketika kejadian mangsa dikatakan sedang mengikat jet ski di berhampiran kawasan pantai.

“Anggota Balai Polis Padang Matsirat yang menerima panggilan awam mendapati seorang operator rekreasi pantai tenggelam dan lemas dipercayai diserang sawan.

“Rakan mangsa yang berada berdekatan pantai tidak menyedari mangsa telah tenggelam kerana sebelum itu dia dilihat sedang mengikat jet ski,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, mangsa kemudian diberi rawatan kecemasan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Perubatan sebaik tiba di wad kecemasan Hospital Langkawi.

“Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kita masih menunggu laporan bedah siasat dikeluarkan,” katanya.

Berita Harian X