Khamis, 18 Julai 2019 | 5:53pm
POLIS menggunakan anjing pengesan dari Unit Anjing Pengesan (K9) untuk memeriksa bagasi dan penumpang dalam Operasi Bersepadu membanteras dadah di Jeti Kuah, Langkawi. - Foto Hamzah Osman
POLIS menggunakan anjing pengesan dari Unit Anjing Pengesan (K9) untuk memeriksa bagasi dan penumpang dalam Operasi Bersepadu membanteras dadah di Jeti Kuah, Langkawi. - Foto Hamzah Osman

Penggunaan K9 kekang penyeludupan dadah

LANGKAWI: Penugasan Unit Anjing Pengesan (K9) di Terminal Feri bagi memeriksa bagasi penumpang, berjaya mengekang kemasukan dadah ke pulau peranginan itu sejak seminggu lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata berikutan itu pihaknya bercadang memperluaskan penggunaan K9 ke kawasan utara Langkawi yang lebih dekat dengan sempadan antarabangsa.

“Penggunaan anjing pengesan berkesan membuat pemantauan dan pemeriksaan ke atas penumpang feri yang ramai, berbanding pemeriksaan menggunakan anggota penguat kuasa.

“Ini terbukti selepas kita letak anjing pengesan di Terminal Feri Kuala Perlis, Kuala Kedah dan Kuah di sini sejak seminggu lalu, tiada dadah dirampas,” katanya pada sidang media di Terminal Feri Kuah di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim.

Zainuddin berkata, polis percaya pengedar dadah di pulau ini mengubah taktik dengan melakukan aktiviti perniagaan dadah di tengah laut.

“Langkawi pulau dikelilingi laut dan pastinya memiliki beribu pintu masuk di sepanjang pantai dengan bot boleh berlabuh di mana-mana sahaja.

“Polis akan terus berusaha mengecilkan peluang pengedar membawa masuk bahan terlarang ke pulau ini, seterusnya membebaskan pulau ini daripada dadah,” katanya.

Beliau berkata, polis turut melaksanakan Ops Payung dengan menempatkan anggota di zon panas yang kerap berlaku aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Kita serius dan akan terus membuat tangkapan, malah polis berazam mengeluarkan semua penagih dari daerah ini, manakala pengedar dituduh di mahkamah dan dikenakan tindakan,” katanya.

Berita Harian X