Rabu, 17 Julai 2019 | 2:37pm

Kes hina nabi: Danny Antoni tukar pengakuan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang sebelum ini mengaku bersalah atas dua pertuduhan menghina Nabi Muhammad SAW, agama Islam dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di laman sosial Facebook, menukar pengakuan kepada tidak bersalah.

Danny Antoni, 28, menukar pengakuannya hari ini semasa kesnya disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, MM Edwin Paramjothy.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Ogos untuk perbicaraan kes itu.

Danny sebelum ini mengaku tidak bersalah, tetapi kemudian menukar pengakuan kepada bersalah pada 13 Jun lalu dan hari ini sepatutnya mahkamah menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memuat naik satu hantaran menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam yang mungkin boleh menyebabkan suasana tidak harmoni di antara penganut Islam dan bukan Islam menggunakan laman profil ‘Danny A’antonio Jr’ pada jam 1.21 pagi, 9 Januari lalu.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa melakukan kesalahan sama terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan niat sama pada tempat dan masa sama mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Kedua-dua hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, di sini, pada 10 pagi, 4 Mac lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyaraf Md Kamal memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh telah disabitkan kesalahan pada sebutan semula kes yang lalu selepas dia mengaku bersalah.

Edwin bagaimanapun berkata, tertuduh yang diwakili peguam, Gabriel Soosay masih mempunyai hak untuk menukar pengakuannya. - BERNAMA

Berita Harian X