Selasa, 16 Julai 2019 | 1:42pm

Pura-pura beli mi segera sebelum cabul

KUCHING: Polis menahan seorang lelaki dipercayai mencabul remaja perempuan berusia 13 tahun di sebuah kedai runcit, di Kampung Pinggan Jaya, di sini, semalam.

Sebelum kejadian suspek berusia 22 tahun dikatakan berpura-pura membeli mi segera di kedai runcit jirannya sebelum mencabul anak pemilik kedai itu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani, berkata suspek yang tidak bekerja ditahan jam 3.20 petang oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD).

Beliau berkata, perbuatan itu dilakukan suspek ketika mangsa sedang bersiap untuk ke sekolah.

“Suspek berpura-pura mahu membeli mi di kedai runcit itu dan bertindak mendapatkan mangsa sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

“Mangsa yang cuba melawan dengan menarik rambut suspek cedera pada hidung dan mulut kerana suspek bertindak kasar,” katanya ketika dihubungi.

Awang Din berkata, mangsa kemudiannya menjerit meminta tolong dan menyebabkan suspek cuba melarikan diri.

“Namun, suspek berjaya ditangkap oleh penduduk kampung dan diserahkan kepada pihak polis.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih dari 20 tahun dan boleh disebat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya lebih berwaspada dan tidak meninggalkan anak perempuan seorang diri di rumah bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Berita Harian X