Selasa, 16 Julai 2019 | 12:10pm

'Saya sayangkan isteri'

MELAKA: “Saya sayangkan isteri,” kata bekas tentera yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh isterinya di Taman Seri Duyong Fasa 2, Duyong di sini, 3 Julai lalu.

Tertuduh, Mahat Jalil, 56, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang menetapkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan dan tertuduh diarahkan dihantar ke Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru bagi pemeriksaan kesihatan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu, tertuduh dalam nada sebak mengangguk faham terhadap pertuduhan dan memberitahu mahkamah dia sayangkan isterinya sebelum ditenangkan Majistret Teoh Shu Yee

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Najwa Nazari, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 14 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kesihatan tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian isterinya, Samnah Mohamad, 55, di sebuah rumah beralamat nombor 44 Jalan SD2/14, Taman Seri Duyong Fasa 2 di sini jam 10.22 pagi, 3 Julai lalu.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki menikam isterinya sehingga mati menggunakan pisau pemotong sayur berukuran 23 sentimeter sebelum menikam dirinya sendiri selepas mereka dipercayai bertengkar di rumah mereka di Taman Seri Duyong Fasa 2.

Dalam kejadian itu mangsa yang juga ibu kepada empat anak maut dengan empat kesan tikaman di badan, manakala suaminya berusia 56 tahun cedera.

Semakan awal polis mendapati, tertuduh turut mempunyai kad rawatan psikiatrik di Hospital Melaka.

Mahat (tengah) diiringi anggota polis di Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas dihadapkan atas pertuduhan membunuh isterinya, 3 Julai lalu. - NSTP/Khairunisah Lokman
Mahat (tengah) diiringi anggota polis di Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas dihadapkan atas pertuduhan membunuh isterinya, 3 Julai lalu. - NSTP/Khairunisah Lokman
Berita Harian X